Thursday, September 29, 2005

Bebal minyak

ntah kenapa... aku semakin minat ngan mamat ni...


Bebal minyak
Hishamuddin Rais -

Hishamuddin Rais

...adalah seorang manusia baru dengan roh yang bebas. Beliau merupakan pendukung dan pengembang asal mazhab NGI (non-governmental individual). Dipengaruhi oleh fahaman Marxis jenis Groucho, Isham adalah lulusan daripada sekolah pemulihan pemikiran politik seperti Melbourne Tellamarine Center, Bombay Arthur Road, Ayer Molek dan Dang Wangi.
Kolumnya di malaysiakini - DOTMAI - terberhenti sejak April 2001 selepas penahanannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Isham dibebaskan Jun lalu selepas dua tahun di Kem Tahanan Kemunting. Kini Isham muncul semula dengan kolum DOTMAI KEMBALI di mana beliau akan menulis mengenai isu-isu politik semasa, filem, seksualiti hingga kepada isu estetika kebosanan hidup.

Malaysiakini
Just before war broke out in 1914, British and German companies had negotiated joint participation in the newly-founded Turkish Petroleum Company that held prospecting rights in Mesopotamia. The war ended the Anglo-German oil partnership and it exposed the territories of the German-allied Ottoman Empire to direct British attack.

As war continued, oil seemed ever more important and shortages ever more menacing to the imperial planners. Sir Maurice Hankey, powerful Secretary of the British War Cabinet, wrote to Foreign Secretary Arthur Balfour during the wars final stage, to argue that oil had become absolutely vital to Britain and that oil resources in Mesopotamia would be crucial in the future. “Control of these oil supplies becomes a first-class war aim,” Hankey said enthusiastically, as British troops closed in on Baghdad.

Dipetik dari buku Hadiah Pulitzer tulisan Daniel Yergin - The Prize: The Epic Quest for Oil, Money and Power New York 1991).

Setelah taufan Katrina berlalu, kini warga dunia telah diberi tahu satu lagi taufan bernama Rita akan melanggar kawasan persisiran Laut Teduh di Amerika Syarikat. Kedatangan taufa Katrina telah memusnahkan bukan sahaja kota New Orleans tetapi beberapa buah pelantar minyak di Telok Mexico. Katrina telah melonjakkan harga bahan bakar minyak mentah dunia hingga mencecah 71 dollar satu tong.

Taufan Rita yang sedang bergolak di Telok Mexico sedang bergumpal dan bertiup menuju ke Texas. Kemungkinan Rita melanggar musnah 18 buah loji penapis minyak di Texas adalah satu perkara yang paling mencemaskan, bukan hanya rakyat Amerika tetapi ekonomi dunia. 18 buah loji ini mengeluarkan empat juta tong minyak sehari atau suku dari pada jumlah minyak mentah yang telah ditapis di Amerika Syarikat.

Semasa saya menyediakan tulisan ini, harga minyak mentah telah mula mencecah 67.80 dollar satu tong. Kemungkinan harga ini akan naik lagi tidak dapat dipertikaikan. Persoalannya yang wajib kita sama-sama renungkan ialah hingga ke tahap mana bahan bakar petrol ini akan naik.

Saya merasakan di negara kita ini, kesedaran tentang minyak dan arus politik ekonomi minyak amat minima. Saya masih belum melihat berlakunya perbincangkan akademik atau wacana ilmiah dari para pemikir tamadun – jika mereka wujud – tentang peranan minyak dan budaya
konsumer yang kita alami hari ini.

Parti-parti politik, dari yang berkuasa hingga ke parti yang bermimpi-mimpi hendak berkuasa, masih gagal memahami implikasi politik minyak. Badan-bandan Ngo kelihatan tidak bermaya untuk memahami apa itu politik minyak. Saya tidak mengharapkan universiti kerana universiti-universiti di negara ini, telah lama ‘mandul’ ilmu. Akhirnya apa yang wujud hanyalah budaya bebal minyak.

Malah, masih ramai yang berpendapat bahawa harga minyak melonjak naik kerana wujudnya spekualsi dari syarikat-syarikat gergasi minyak yang memasung pengeluaran dan pengedaran minyak. Mengikut hujah pandangan garis ini, para spekulasi ini sedang bersekongkol dengan media untuk menakut-nakutkan pengguna agar harga minyak terus dapat dinaikkan.

Saya tidak menafikan bahawa dalam suasana kelam-kabut dan tidak menentu ini, keuntungan maksima memang sedang diraih dan meloroh masuk ke dalam kantung syarikat-syarikat gergasi minyak. Exxon, Chevron, Mobil, British Petrolium, Shell, Gulf dan Texaco adalah gergasi-gergasi yang juga dikenali sebagai Seven Sisters. Syarikat-syarikat inilah yang memiliki dan menguasai carigali dan pemasaran minyak dalam dunia ini. Pertamina dan Petronas hanyalah sebesar tahi lalat Azean Irdawaty berbanding dengan Seven Sisters.

Kuasa tentera Jerman
Biar saya ulang sebut beberapa fakta sejarah agar kita sama-sama dapat merasakan taufan yang telah dibawa oleh bahan bakar minyak ini. Perang dunia pertama berlatarbelakangkan bahan bakar minyak. Perang dunia kedua juga adalah perebutan minyak antara kuasa imperial British yang telah menawan, menakluk dan memiliki telaga-telaga minyak di Timur Tengah dengan
kuasa tentera Jerman yang tidak memiliki minyak.

Serangan dan penaklukan tentera Jerman ke atas Mesir – jauh dari pentas perang Eropah – bertujuan untuk menguasai telaga-telaga minyak di Timur Tengah. Tentera Mussolini yang menakluki Libya, juga bertujuan untuk menjarah telaga minyak yang telah dimiliki oleh kuasa imperial British.

Pentabiran Muhammad Mussadegh (1951-53) di Iran, telah disingkirkan oleh kuasa Anglo-Amerika kerana Perdana Menteri Iran ini telah memiliknegarakan telaga-telaga minyak negaranya. Penggantinya ialah Ahmad Reza Pahlevi yang telah dinobatkan oleh kuasa Anglo-Amerika untuk memastikan Seven Sisters dapat sekali lagi beroperasi tanpa halangan di Iran.

Malah, jika rajin mengkaji sejarah negara kita sendiri, maka kita akan bertemu bagaimana pada tahun 1962, rancangan Brunei untuk menjadi kerabat Malaysia, telah dihalang oleh kepentingan Shell. Tiba-tiba, pada tahun 1967, Sultan Omar Ali Saifuddin diberitakan ‘tidak sihat’ dan digantikan dengan Sultan Hassannul Bolkiah yang ketika itu masih lagi muda. Tidak dapat
tidak, sandiwara ini adalah sandiwara Shell.

Perang Iran dan Iraq bermula apabila kepentingan syarikat minyak Seven Sisters tergugat oleh pentabiran Ayatollah Khomenei. Perang ini berlanjutan dan berjangkit ke Kuwait, wilayah yang dianggap oleh warga Iraq sebagai sebahagian dari tanahair mereka.

Dua tahun dahulu, kuasa imperial Anglo-Amerika dengan segala kekuatan bala tenteranya, telah menyerang dan menakluk Iraq. Hari ini, warga dunia dari ceruk manapun telah mengetahui bahawa tujuan serangan ini ialah untuk menguasai dan memiliki telaga minyak Iraq yang telah dimiliknegarakan oleh kerajaan Parti Sosialis Baath di Iraq semenjak tahun 1974. Perang di Iraq yang sedang dipentaskan hari ini, adalah bukti seperti ‘siang lagi bersuluh’ tentang peranan bahan bakar minyak petrol.

Saya telah menulis dan cuba menerangkan kepada umum, terutama kepada ramai penganut mazhab bebal minyak bahawa bahan bakar minyak petrol ini telah semakin susut. Saya dapati kebebalan yang maha sangat ini, sedang melanda budaya fikir warga negara ini. Sedikit sebanyak, saya dapat memahami kenapa begitu liat sekali kesedaran ini meresap. Dan bagitu susah sikap bebal minyak ini pecah. Dari sudut ilmu falsafah, perkara yang amat susah untuk diterima ialah kebenaran, terutama apabila kebenaran itu akan mengancam pandangan dunia yang sedang dipegang.

Teori puncak minyak
Untuk ini, sekali lagi saya akan cuba menerangkan apa yang dipanggil teori ‘Peak Oil’ atau yang telah saya sunatkan untuk menjadi teori Puncak Minyak. Teori ini dikeluarkan oleh M King Hubbert, seorang pakar kajibumi – geophysicist – Amerika. Dia telah menulis dan menyampaikan teorinya kepada American Petroleum Institute pada tahun 1956. Mengikut teori ini, Hubbert telah meramalkan pengeluaran minyak di Amerika Syarikat akan sampai ke puncak di antara tahun 1965– 1970. Apabila pengeluaran minyak ini telah sampai ke puncaknya, maka ianya akan menurun dan akhirnya minyak ini akan habis.

Hubbert memunculkan teori ini berdasarkan pengamatan data-data tahap kesusutan sesebuah telaga minyak. Dia menolak pandangan pakar kajibumi yang menganggap bahawa telaga minyak adalah satu tasik minyak dibawah tanah yang hanya perlu ditemui dan disedut minyaknya keluar. Seperti menyedut air soya dalam kotak. Menurut Hubbert telaga minyak ialah batu-batan yang
mengandungi minyak yang wajib mendapat tekanan. Kawasan di sekeliling batu-batan minyak ini, wajib mendapat tekanan yang teratur rapi, terutama di sekitar telaga. Tanpa tekanan, mungkin minyak tidak akan dapat ditimba keluar.

Kuasa tekanan untuk mengeluarkan minyak ini akan dilakukan dengan memancutkan air, gas atau apa sahaja. Telaga minyak akan dianggap susut apabila tenaga untuk mewujudkan tekanan ini sama sahaja kosnya dengan jumlah minyak yang dikeluarkan dari telaga ini. Mengeluarkan minyak dari telaga seperti ini akan dianggap tidak berbaloi walaupun masih banyak lagi minyak yang belum dikeluarkan dari telaga ini. Bila ini terjadi, maka telaga ini telah melintasi Puncak Minyak.

Ketika Hubbert mengajukan teorinya pada tahun 1956, dia dianggap sasau dan tidak waras dari segi ilmiah dan akademik. Hari ini, terbukti teori Puncak Minyak yang diajukan oleh Hubbert tepat ke sasarannya. Amerika Syarikat telah sampai ke puncak pada tahun 1971, seperti yang
diramalkan oleh Hubbert. Puncak minyak telah melintasi Russia pada tahun 1987, Brunei (1979), Libya (1970), Iran (1974) dan Indonesia pada 1997.

Puncak penemuan minyak dalam dunia ini ialah pada tahun 1964. Berdasarkan teori ini dan dengan data-data terbaru, maka pengeluaran minyak sedunia akan sampai ke puncak tidak lama lagi. Pengkaji yang optimis pula telah berani memberikan tarikh 2020 sebagai puncak minyak sedunia. Tetapi ada pula pengakaji yang lebih pesimistik yang mengatakan bahawa dunia telah melintasi puncak minyak.

Memang betul, apa yang diajukan oleh Hubbert hanyalah satu teori. Dan sebagai satu teori, ianya boleh disanggah dan diperlekehkan. Tetapi hakikatnya, pada hari ini, semakin jelas kelihatan bahawa pengeluaran minyak dalam dunia ini tidak berupaya untuk menampung permintaan. Permintaan yang meninggi dan pengeluaran yang mengecut, telah melonjakkan harga komoditi ini. Ini memperkuatkan lagi teori Hubbert ini. Teori Puncak Minyak ini telah mendapat sokongan dari Matt Simmons, Pengerusi Simmons and Company International – sebuah bank perlaburan carigali minyak.

Matt Simmons juga adalah seorang penasihat kepada ‘2001 Energy Task Force – di bawah jabatan Naib Presiden Dick Cheney. Matt Simmons orang minyak ini, bukan orang biasa. Ertinya dia mengetahui semua selok-belok dan hal-hal bersangkutan dengan bahan bakar minyak petrol. Matt Simmons berpendapat, pasaran minyak semakin kelam-kabut kerana 90 peratus pengeluaran minyak dari Arab Saudi, hanya datang dari lima telaga yang telah beroperasi lebih daripada 50 tahun. Arab Saudi adalah pengeluar minyak terbesar di dunia.

Tamadun konsumer
Selama dua dekad ini, tidak wujud data-data terperinci tentang pengeluaran dan carigali minyak di Arab Saudi. Semuanya dirahsiakan oleh kerajaan Saud. Ini meremangkan bulu tengkok
sesiapa sahaja yang menjalankan kajian ilmiah tentang minyak petrol. Kita harus sama-sama menerima hakikat bahawa tamadun yang sedang kita alami ini ialah tamadun minyak. Panggillah ianya apa sahaja – tamadun moden, pasca moden, late capitalism, pasca Marxism atau pra tamadun Islamic – hakikatnya, kita sedang bergelumang dalam tamadun konsumer yang dijana oleh minyak petrol yang senang didapati dan murah.

Semua yang wujud di sekeliling kita hari ini ada bersangkutan dengan bahan bakar minyak petrol. Kita diterangi, dipanasi dan diangkut ke hulu ke hilir oleh minyak. Kita makan dan kita minum minyak petrol. Makanan yang dihidangkan di meja makan kita adalah minyak. Tepung, beras, sayuran, daging atau ayam yang dimport, memerlukan pengangkutan. Pengangkutan bermakna minyak.

Gandum yang menghasilkan tepung, memerlukan baja. Baja ertinya minyak petrol. Ikan yang dicari di lautan, wajib ditangkap dengan kapal nelayan. Kapal nelayan bermakan bahan bakar minyak. Ayam yang kita bawa masuk dari Siam wajib dibawa dengan lori. Lori ini memerlukan minyak petrol. Kain baju yang kita pakai pun dari minyak. Hakikatnya, dalam tamadun konsumer hari ini adalah tamadun minyak petrol.

Kerana bahan bakar ini begitu penting, maka saya meminta kita memberi perhatian serapi mungkin terhadap gerak politik minyak yang sedang berlaku di sekeliling kita, agar kita tidak terus menjadi bebal minyak dan tiba-tiba melopong ternganga apabila Kancil kita tidak berupaya lagi bergerak.

Perhatikan dengan rapi – hari ini tentera laut negara China telah berubah menjadi apa yang dipanggil ‘Blue Navy’. Peralihan ini bermakna, tentera laut China bukan lagi hanya berligar di kawasan perairan persisiran China, tetapi memiliki keupayaan untuk berlayar jauh. Ini dilakukan untuk mengawal dan menjaga keselamatan kapal-kapal pembawa minyak yang akan masuk ke pelabuhan China.

Perhatikan dengan rapi – perang sudara di Darfur Sudan. Latarbelakang perang ini ialah perebutan blok atau kawasan-kawasan minyak yang telah diagih-agihkan kepada syarikat-syarikat carigali minyak, termasuk Petronas dari Malaysia.

Perhatikan dengan rapi – apa yang sedang bergolak di Lembah Niger, Nigeria. Jangan lupa tentang seniman dan penulis Ken Saro-Wiwa yang telah dihukum bunuh kerana berjuang menentang syarikat Shell yang memusnahkan wilayah Ogoni kawasan, kaumnya pada tahun 1995. Perang pemisah yang sedang berlaku sekarang, semuanya berasaskan perebutan blok atau kawasan yang buminya dianggap memiliki minyak.

Parlimen dan isu AP
Perhatikan dengan rapi – tentang pencerobohan kapal selam China ke perairan Jepun pada awal tahun ini. Ini juga bersangkutan dengan minyak. China sedang menduga sistem pertahanan laut Jepun.

Perhatikan dengan rapi – perebutan kawasan perairan di antara Indonesia dan Malaysia yang baru berlalu tidak lama dahulu. Ini juga berlatarkan perebutan blok minyak.

Di negara kita ini, saya perhatikan penganut mahzab bebal minyak ini semakin bebal. Saya ingin memeranjatkan mereka dan memberitahu bahawa dalam masa yang amat singkat, Malaysia tidak akan lagi memiliki minyak untuk dijual. Malaysia akan melintasi puncak minyak atau telahpun memasuki zaman puncak minyak.

Sikap bebal minyak saya perhatikan semakin menjadi-jadi. Satu petanda yang amat jelas ialah garis ekonomi kerajaan kita yang begitu ghairah dengan industri kereta dan motosikal. Perbincangan yang dilakukan di Parlimen oleh pihak kerajaan dan pihak yang bermimpi hendak menjadi kerajaan mengenai industri ini, hanya berupaya ke tahap permit AP. Otak ahli-ahli Parlimen kita tidak berupaya untuk berhujah dan menilai lebih jauh:

– Apakah industri kereta ini satu bentuk industri lama yang telah ditinggalkan zaman

– Apakah industri ini sengaja ditinggalkan kepada dunia ketiga kerana ianya bersifat ‘kotor’

– Apa pandangan para YB tentang masa depan industri ini yang dijangka hanya akan dimiliki oleh hanya lima syarikat motor gergasi dan tidak termasuk Proton atau kedai membaiki motor di Kampung Kerinchi.

– Apakah para YB tidak menyedari bahawa banyak syarikat kereta dalam dunia ini sedang menuju ke gaung kemuflisan, termasuk Proton.

Hari ini, kereta dan motosikal ini telah menjadi pembunuh bersiri yang paling rajin. Dalam masa yang sama industri yang bersangkut rapat dengan bahan bakar petrol ini, sedang membawa musibah pencemaran alam sekitar. Pembakaran petrol dari enjin kereta, telah bertanggungjawab menaikkan suhu kepanasan dunia yang kini melahirkan perubahan cuaca. Cuaca dunia yang
berubah ini pula melahirkan Katrina dan Rita yang memusnahkan diri kita sendiri. Hanya yang si bebal sahaja tidak dapat mencampur dua sama dua.

Saya cukup yakin, sesiapa yang bebal minyak akan terperanjat tidak lama lagi akan apabila dunia berhadapan dengan Puncak Minyak. Hingga ke hari ini, lebih dari 25 bilion tong minyak telah dikenal pasti. Dalam masa yang sama, hanya 8 bilion tong minyak baru, yang telah ditemui. Hari ini, dunia menggunakan 84.3 juta tong minyak sehari, ertinya 30 bilion tong untuk setahun. Pengeluaran dan permintaan jika selari, maka tidak berlaku kelam-kabut seperti hari ini. Tetapi ekonomi dunia dan keadaan politik dunia tidak dalam keadaan ceteris paribus. Keadaan berubah, permintaan dari China dan India telah memberi tekanan kepada pengeluaran yang sedia sempit.

Akhir bulan ini atau bulan hadapan, kerajaan Indonesia akan melupuskan subsidi bahan bakar minyak untuk rakyat Indonesia. Pentabiran Presiden Susilo telah bersiap sedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan. Keretakan rejim Suharto dahulu bemula apabila Suharto cuba menaikkan harga bahan bakar ini. Kali ini Susilo pula akan mencuba melakukan perkara yang sama dalam suasana pasca reformasi. Saya berharap semua penganut bebal minyak akan mengikuti apa yang akan berlaku di Indonesia dan bukan hanya bersembang kosong tentang AP.

Wednesday, September 28, 2005

The Idiot Box

menarik....

Monday, July 25, 2005

Hishamuddin Rais

Melangak di hadapan kaca tv ini, baru sahaja sampai ke dalam pembudayaan masyarakat kita. Sistem alat penyiaran bergambar ini mula menjadi objek yang diberahikan (object of desire) di negara Eropah dan Amerika Syarikat sesudah perang dunia yang kedua. Di Malaysia budaya melangak di hadapan kaca tv ini belum pun sampai dua generasi. Malah sehingga ke tahun 1974, di kampung saya dalam daerah Jelebu alat siaran tv ini masih lagi belum sampai. TV hanya dapat masuk ke daerah Jelebu apabila Rais Yatim seorang anak Jelebu mula menjadi Menteri Penerangan. Bayangkan betapa ulunya Jelebu di masa itu.

Secara positif, ini bererti semasa saya membesar saya tidak mengetahui objek ini. Apa yang menjadi alat hiburan kami ketika itu ialah radio. Untuk memenuhi masa yang lain kami membaca - buku-buku cerita, komik, novel dan akhbar harian. Ertinya budaya membaca telah mula mengukuh ketika tidak adanya tv. Radio pada ketika itu tidak dilihat sebagai saingan malah dilihat sebagai alat penyokong kepada budaya membaca.

Dalam masa dua dekad yang lepas, budaya radio telah berubah wajah - dari alat penyampai berita dan maklumat kini telah menjadi 99% alat hiburan. Budaya membaca yang baru hendak berakar cambah dalam negara kita kini telah terbantut. Semua ini hasil dari asakan dan ledakan kedatangan tv. TV hari ini telah beralih dari objek yang diberahikan kepada objek yang wajib ada di dalam rumah. Kini tv telah dianggap setaraf dengan kuali atau cerek air. Alatan-alatan ini diperlukan di semua rumah.

Dalam budaya semua bangsa, pinjam-meminjam dan tiru-meniru adalah perbuatan yang biasa dan bukan sesuatu yang salah. Semua budaya bangsa ada memiliki ciri pengaruh luaran. Tidak wujud satu tamadun bangsa yang monolitik. Kita juga mengambil, meniru dan menyesuaikan ciri luaran dengan keadaan budaya bangsa kita. Ini akan memperkayakan dan merancakkan lagi pembudayaan.

Tetapi objek yang dipanggil nama tv ini agak berlainan sedikit perangainya. Tidak seperti objek meja, sepatu, bendera atau almari yang datang dari negara Benggali Putih - Portugal. Kita menggunakan objek-objek dengan keselesaan dan tepat. Begitu juga kita menyesuaikan penggunaan objek songkok yang berasal dari Afghanistan. Untuk saya penggunaan objek tv ini cukup pelik lagi memelikkan.

Dari ingatan saya, pada tahun 1972 dahulu, tv kita hanya ada memiliki satu saluran hitam putih sahaja. Pada ketika itu saya pernah melihat sebuah rumah orang Melayu (yang berjaya) - kalau dalam istilah hari ini keluarga ini ialah Melayu Baru - yang memiliki 3 peti tv. Satu di ruang tamu. Satu di meja makan dan satu di dapur. Dalam tahun 1972 saya kurang arif apakah rancangan yang ingin diikuti oleh Melayu Baru ini. Ketika itu video atau CD belum wujud. Tetapi kerana saya dari Jelebu yang tidak ada tv maka saya menganggap inilah budaya terkini orang bandar.

Kerimasan saya pada tahun 1972 itu rupa-rupanya tidak berganjak. Hari ini objek tv ini bukan hanya sedang merimaskan saya tetapi telah sampai ke tahap menyesakkan nafas. Untuk saya objek tv ini sedang betul-betul menekan wujudiah saya. Kerimasan yang saya hadapi ini bukan kerana isi dan rancangan yang disiarkan. Ini satu perkara yang lain.

Apa yang merimaskan saya ialah benda ini terus-menerus mengekori saya ke mana sahaja saya pergi. Benda tv ini telah menjadi bayang kita semua. Ke mana sahaja kita bergerak benda tv ini akan bergerak sama. Bayangkan, minggu lepas saya telah dijemput bertandang untuk makan tengah hari oleh satu keluarga Melayu. Sesampai saja ke ruang tamu saya terlihat tv sedang terpasang. Seorang anak kecil belasan tahun sedang melangak di hadapan tv.

Keluarga yang menjemput saya ini tidak pula memadamkan alat tv ini walhal tamu yang diundang telah sampai. Sambil berlabun berkenal mesra, mata tuan rumah sesekali mengintai ke kaca tv. Ini berlaku apabila suara dari tv ini menjadi kuat dan keras. Saya menjadi amat tidak selesa. Apabila makan tengah hari dihidangkan kami semua betul-betul dipaksa duduk di hadapan objek ini.

Rasa saya apa yang saya alami minggu lalu bukan sesuatu yang terpencil. Pernah satu ketika di kota London saya telah di jemput bertandang ke sebuah rumah orang Melayu di Nottinghill Gate - kawasan perumahan kelas menengah kota London. Sesampai sahaja saya ke rumah ini, si tuan rumah tanpa diminta telah memasangkan alat tv. Dengan serta merta saya merasa rimas. Bayangkan, ruang tamu ini bukan besar sangat, jadi mata kami amat susah untuk melarikan dari diharu oleh suara dan gambar dari objek ini.

Saya merasa susah bernafas kerana diasak oleh objek tv ini. Lalu saya cuba membuat alasan meminta diri tetapi tuan rumah ingin pula menghidangkan sesuatu kepada saya. Apabila mereka ke dapur saya terus memadamkan alat ini. Bila sang suami masuk ke ruang tamu dia terus memasang tv itu sekali lagi. Kali ini si suami terus mencari-cari saluran untuk memperagakan alat tvnya yang 'connected' dengan satelit. Saya terpaksa duduk seperti budak kampung dari Jelebu yang belum pernah melihat tv. Ketika itu saya terfikir mungkin saya lebih selesa menginap di neraka dari duduk satu jam di hadapan tv sambil menjadi tamu pasangan Melayu ini.

Ruang tamu dihiasi dengan tv ini bukan sesuatu yang baru. Saya rasa tidak ada pencemaran estetika yang berlaku jika tv didudukkan di sebelah radio atau bersama sistem bunyi untuk mengindahkan ruang tamu. Apa yang merimaskan ialah tv ini terus-menerus terpasang tidak mengira waktu. Dan yang paling menjelikkan ialah benda tv terus terpasang ketika tamu datang bertandang. Saya tidak tahu ke mana perginya ramah-tamah budi bahasa menyambut tamu. Tetamu datang ke rumah bukan hendak menonton tv - mereka datang untuk berkenal mesra dan merapatkan persaudaran. Kenapa alat tv ini dibenarkan mencelah dan mengganggu.

Saya tidak tahu dari mana 'gila tv' ini muncul. Hari ini di warung, di restoran, di mana- mana sahaja ruang nampaknya ada sahaja benda ini terpasang. Kalau ada sepuluh baris warung makan pasti ada sepuluh buah kaca tv yang terus menerus menyalak. Seharusnya semasa kita di restoran atau di warung, kita bukan sahaja ingin melayan selera tetapi kita juga seharusnya ingin menikmati perbualan antara kita sesama manusia tanpa diganggu oleh tv. Apakah para pelanggan ini datang kerana hendak menonton tv kerana tv di rumah mereka telah disambar tsunami.

Jangan marah jika saya katakan bahawa dalam masyarakat Melayu, terutama di Hari Raya, peranan objek tv ini amat menjijikkan. Jika tidak percaya tunggulah hari raya tahun ini. Bertandanglah ke rumah saudara atau jiran tetangga. Liarkan mata dan pasti akan ternampak dua tiga malaun yang sedang melangak di hadapan kaca tv tanpa mempedulikan kedatangan sanak-saudara; walaupun di pagi hari raya pertama.

Dari semua yang saya lihat ini maka saya dapat memahami rasional kenapa peti tv ini diberikan nama jolokan 'idiot box' atau kotak bangang. Kotak ini memang tidak memiliki akal. Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang terus melangak di hadapan kaca tv - apakah mereka juga sama bangang dan otak mereka telah menjadi kaca.

Monday, September 12, 2005

Mencari Cinta

No no no!!! Posting aku hari ni tadek kena mengena dengan rancangan TV realiti(?) yang diperkatakan seantero Tanah Melayu(?) itu. Saje nak upload beberapa gambar terbaru kami...

(for more photos, go to http://mudin001.fotopages.com) TQ :)

Friday, September 02, 2005

...ialah diriku!

Kitab kecil yang disediakan Allah SWT itu ialah diri kita sendiri. Pada diri itu terlukis serba sedikit rahsia alam ini. Kitab itu dibawa ke mana pergi, dipakai siang dan malam. Dan kalau hendak memperluas, memperdalam, masuklah ke dalam hati alam, renunglah, renanglah; kalau tidak sanggup, cukupkanlah dengan kitab kecil itu sahaja:

"Dan pada bumi ini adalah beberapa tanda untuk orang yang yakin, dan pada dirimu sendiri apakah tidak engkau lihat?" (Surah Adz-Dzariyat: ayat 20-21)

Mengapa payah belayar jauh,
Mencari mutiara di laut dalam,

Sudahlah patut kapal bersauh,
Bawalah menung di hening malam.

Bilalah larut malam gelita,

Bilalah sepi dunia keliling,
Dengar suara di jiwa kita,
Jelas terdengar meskipun hening.

- Prof Dr. Hamka, Falsafah Hidup.
















Subhanallah! Indahnya ciptaanMu!!!
( Gambar hiasan: dilakonkan oleh Azizul Zikry, my nephew - Abe Ama's son. He is expecting his second child this coming Ramadhan, semoga Allah mempermudahkan Kak Huda nanti. Dapat anak sedara no. 4 la nanti.. ehe :D)